Sejarah perkembangan Kerajaan tempatan di Malaysia

Perkembangan awal

Sistem kerajaan tempatan yang diamalkan di Malaysia telah diwarisi daripada British yang memerintah Tanah Melayu selama lebih 2 kurun sebelum kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957.[1] Maka, kerajaan tempatan yang ditubuhkan pada permulaannya adalah bermodelkan sistem yang wujud di Britain. Malah dalam kaji selidik yang lebih mendalam telah mendapati bahawa kebanyakan undang-undang dan peraturan yang wujud ketika itu menyamai undang-undang Inggeris. Tetapi, dalam peredaran masa, ciri-ciri unik yang mencerminkan sosio-budaya tempatan mula mempengaruhi perjalanan kerajaan tempatan di Malaysia.

Sebuah badan yang dipanggil Majlis Penilai (Council of Assessors) telah ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1801. Majlis ini diberi peranan merancang dan melaksanakan pembangunan bandar. Hal ini seterusnya membawa kepada penubuhan kerajaan tempatan di negara ini. Majlis-majlis tempatan kemudiannya dibentuk di Melaka, diikuti dengan negeri-negeri Melayu yang lainnya sehingga ke Sarawak dan Borneo Utara. Bagi melaksanakan penubuhan ini dan juga menganjurkan pilihan raya kerajaan tempatan, pihak British telah memperkenalkan pelbagai perundangan. Sebagai contoh, Ordinan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1950 memberi kuasa kepada majlis-majlis tempatan untuk menganjurkan pilihan raya. Selain itu, Ordinan Kerajaan Tempatan 1952 pula memberi kuasa kepada penduduk-penduduk setempat membentuk majlis-majlis tempatan di mana perlu. Pada penghujung era penjajahan British, terdapat sejumlah 289 majlis tempatan di Tanah Melayu.[2] Selepas kemerdekaan dicapai pada tahun 1957, kuasa ke atas kerajaan tempatan diletakkan ke dalam senarai negeri.[3]

Dekad 60-an pasca-Merdeka merupakan zaman yang amat mencabar bagi majlis-majlis tempatan. Permasalahan dalaman berkaitan pentadbiran dan politik yang dihadapi oleh kerajaan tempatan dan konfrontasi Indonesia terhadap penubuhan Malaysia pada tahun 1963, telah memaksa penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan. Penggantungan ini dilakukan melaui dua peraturan, iaitu Peraturan Kecemasan (Penggantungan Pilihan raya Kerajaan Tempatan) 1965 dan pindaannya pada tahun yang sama. Sejak dari itu, kerajaan tempatan di Malaysia tidak lagi melangsungkan pilihan raya walaupun sistem ini telah berkembang di dalam keseluruhan sistem berkerajaan di Malaysia.[4]

Suruhanjaya Siasatan Diraja 1965

Masalah-masalah yang dialami oleh kerajaan tempatan pada tahun 1960-an telah diburukkan lagi dengan kewujudan pelbagai jenis majlis tempatan dan juga dengan kerumitan penguatkuasaan pelbagai ordinan, enakmen, undang-undang kecil dan peraturan yang berbeza-beza. Sehingga awal dekad 70-an, percambahan unit-unit kerajaan tempatan ini menyaksikan wujudnya entiti yang mentadbir kawasan setempat dalam jumlah yang agak banyak. Di Semenanjung Malaysia sahaja terdapat sebanyak 374 buah majlis tempatan. Maka, kerajaan merasakan wujudnya keperluan mengkaji semula dan merombak sistem kerajaan tempatan di Malaysia bagi memperbaiki gerak kerjanya. Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas perjalanan Kerajaan Tempatan di Malaysia Barat, yang pertama seumpamanya, telah ditubuhkan pada tahun Jun 1965 bagi tujuan ini. Suruhanjaya itu diketuai oleh Senator Athi Nahappan turut dianggotai oleh D. S. Ramanathan, Awang Hassan, Chan Keong Hon, Tan Peng Khoon dan Haji Ismail Panjang Aris, kesemuanya ahli politik berpengaruh dari Parti Perikatan.[5] Suruhanjaya ini telah mengadakan pelbagai mesyuarat dan perbincangan, di samping menerima pelbagai memorandum daripada banyak pihak dan telah berjaya menyiapkan satu kaji selidik yang menyeluruh tentang selok-belok operasi kerajaan tempatan di Semenanjung Malaysia. Laporan mereka hanya sempat dihantar ke jemaah menteri pada bulan Disember 1969 dan hanya diedarkan kepada orang awam dua tahun kemudiannya.

Rombakan menyeluruh

Walaupun kesemua saranan Suruhanjaya Diraja itu tidak diterima, kebanyakan penemuannya telah dijadikan asas untuk menyusun semula keseluruhan sistem kerajaan tempatan di Malaysia (termasuk Sabah dan Sarawak). Bertunjangkan cadangan Suruhanjaya Diraja tersebut, penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang baru mentadbir hal-ehwal kerajaan tempatan yang diberi nama Akta Kerajaan Tempatan dilakukan dengan berperingkat-peringkat. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada waktu itu, Ong Kee Hui melalui jawatankuasa kabinet yang mengkaji laporan Suruhanjaya Diraja, memulakan penyusunan semula itu dengan memperkenalkan Akta Kerajaan Tempatan (Peruntukan Sementara) 1973. Akta ini memberi peruntukan perlembagaan sementara kepada kerajaan persekutuan untuk mengkaji semua undang-undang berkaitan kerajaan tempatan yang dipegang oleh kerajaan negeri. Hasilnya 3 undang-undang baru diwartakan yang mengubah secara langsung sistem kerajaan tempatan di negara ini, iaitu Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Beberapa perubahan penting telah berlaku dengan penguatkuasaan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Akta baru itu hanya membenarkan penubuhan 12 majlis perbandaran dan 90 majlis daerah sepanjang tiga tahun berikutnya. Ini bermakna semua majlis tempatan yang sedia ada disatukan samada bagi membentuk majlis perbandaran atau majlis daerah bergantung kepada keadaan pada waktu itu. Yang paling penting sekali ialah pemansuhan terus pilihan raya kerajaan tempatan. Melalui akta ini, pegawai-pegawai majlis tempatan akan dilantik manakala sebahagian besar majlis daerah akan diketuai oleh pegawai-pegawai daerah masing-masing. Kedua-dua perubahan ini dan beberapa peruntukan lainnya secara langsung telah memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk mengawal kerajaan tempatan yang sebelum ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri.

Rombakan ini secara langsung telah mengubah peranan kerajaan tempatan. Sebelum tahun 1970-an kerajaan tempatan dianggap sebagai salah satu saluran dalam amalan demokrasi di negara ini selain parlimen dan dewan undangan negeri. Tetapi, selepas rombakan dibuat, peranan itu diubah kepada saluran untuk mempercepat dan menggalakkan pembangunan. Hal ini disimpulkan seorang pemerhati politik yang bernama Malcolm W. Norris pada tahun 1978:[1]

Visi baru untuk kerajaan tempatan di Malaysia ini mempunyai kepentingan politik yang amat besar. Penyusunan semula sistem kerajaan tempatan akan memberikan dorongan baru kepada pihak berkuasa tempatan untuk mara merentasi peranan tradisinya seperti pengumpulan sampah dan pemeriksaan kebersihan atau penyenggaraan am kepada pembangunan dan pengurusan bandar.